Friday 24 May 2019


KPS3014- PENGURUSAN PEMBELAJARAN

PORTFOLIO PENGURUSAN PEMBELAJARAN

NAMA: NUR AINA BINTI HAMDAN

NO MATRIK:D20181082453

KUMPULAN: Q

NAMA PENSYARAH: DR ABU BAKAR BIN YUSUF



SILA KLIK DISINI UNTUK NOTA: 

https://drive.google.com/open?id=1FkSAHcfI64PDaSwbjtgEp0NxHH7UPBbu



REFLEKSI


TOPIK 1: MENGURUS PEMBELAJARAN

Menurut Kamus Dewan Edisi keempat ,pengurusan bermaksud mengurus sesuatu. Pengurusan juga boleh didefinisikan sebagai kerjasama dalam sesebuah organisasi dengan menggunakan sumber optimum untuk mencapai sesuatu matlamat. Pengurusan pengajaran dan pembelajaran merupakan bidang pengurusan yang paling utama dalam bidang pendidikan. Dalam topik ini, kita akan membincangkan mengenai cara-cara pengurusan pembelajaran dalam pengajaran guru, contoh kaedah yang digunakan guru untuk melaksanakan pembelajaran abad ke 21 dan juga peranan guru di dalam kelas dalam mengurus pembelajaran pelajar melalui pengajaran yang disediakan guru. 

Terdapat beberapa cara yang digariskan dalam bab ini untuk mengurus pembelajaran pelajar dalam pengajaran.Yang pertama ialah guru perlulah bersikap kreatif dalam mempelbagaikan kaedah penyampaian isi kandungan pelajaran kepada pelajar. Guru perlulah menggunakan sumber pembelajaran dan bahan pembelajaran yang mampu menarik perhatian para pelajar untuk focus terhadap apa yang cuba disampaikan oleh guru di dalam kelas.Yang kedua ialah guru perlulah banyak merancang dan melaksanakan aktiviti yang menarik minat para pelajar untuk menyertainya. Contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung ialah seperti permainan, teka silang kata, lakonan dan sebagainya. Perancangan yang rapi haruslah dilakukan oleh setiap guru sebagai persediaan awal sebelum masuk ke dalam kelas untuk mengajar. Dengan adanya kaedah pengajaran seperti ini,nescaya murid akan lebih terangsang untuk belajar.

Bab ini juga menerangkan dengan lebih lanjut tentang contoh aktiviti berkumpulan yang boleh dilaksanakan di dalam kelas. Aktiviti ini menerapkan unsur pembelajaran abad ke 21 yang menekankan prinsip 4C iaitu communication, collaboration, creativity and critical thinking.Contoh aktiviti yang pertama ialah ‘Gallery walk’. Aktiviti ini melibatkan penyertaan aktif oleh pelajar dalam kumpulan.Faedah aktiviti ini ialah pelajar akan mampu memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam dan dapat berkongsi ilmu dengan rakan sekelas yang lain.

Aktiviti kedua ialah Rainbow group. Rainbow group memerlukan setiap pelajar dalam kumpulan berpecah dan masing-masing akan belajar mengenai subtopik yang berbeza bagi setiap tajuk dengan ahli kumpulan yang lain yang mendapat soalan yang sama. Setelah perbincangan selesai mereka akan kembali semula kepada kumpulan yang asal untuk menceritakan kembali apa yang telah mereka bincangkan sebelum ini.Dengan adanya Rainbow group ini,setiap orang pelajar akan menguasai tajuk atau soalan yang telah diberikan kepada mereka dan mereka perlu berkongsi kembali apa yang mereka dapat hasill daripada perbincangan terbabit.Maka pelajar yang lain juga akan mendapat maklumat yang sama dan perkongsian pendapat yang berlaku antara pelajar ini akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan sedia ada mereka mengenai topik terbabit.

Topik pengurusan pembelajaran dalam pengajaran ini juga turut menggariskan beberapa peranan guru di dalam merangka pengajaran di dalam bilik darjah.Salah satunya ialah guru bertindak sebagai pembimbing kepada pelajar .Guru haruslah memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada pelajar ketika aktiviti berpusatkan pelajar sedang dijalankan.Selain itu,guru juga berperanan untuk mewujudkan rasa ingin tahu dalam diri pelajar. Setiap topic yang bakal diajar oleh guru haruslah diperkenalkan dengan cara yang menarik kepada pelajar agar pelajar akan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi untuk belajar dan sentiasa berasa teruja untuk mempelajari sesuatu yang baru. Guru juga berperanan sebagai perancang pengajaran. Guru haruslah menyediakan RPH yang lengkap dan menarik supaya perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat berjalan dengan lancar. 

Kesimpulannya,pengurusan pembelajaran dalam pengajaran merupakan salah satu aspek pengurusan penting di setiap sekolah. Tahap pencapaian akademik para pelajar bergantung kepada bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berlangsung. Jadi guru bertanggunjawab memainkan peranan bagi memastikan pelajar dapat menerima ilmu yang disampaikan oleh guru di dalam kelas pada tahap yang paling maksima. Dengan adanya pembelajaran abad ke 21 yang bercirikan penglibatan aktif pelajar di dalam kelas, nescaya tahap penerimaan ilmu oleh pelajar akan bertambah menyebabkan mereka mampu menjadi pelajar yang cemerlang dalam akademik.


RUJUKAN

Hayati Ismail. (2018, Januari 15). Pembelajaran abad ke-21 : Harapan, reality dan cabaran.
Utusan Online, Diperoleh daripada m.utusan.com.my/rencana/utama/pembelajaran-abad-ke-21-harapan-realiti-dan-cabaran-1.590819

Kaizen Kohana. (2012). Peranan guru dalam pengurusan bilik darjah. [Slaid pembentangan].
Diperoleh daripada

Suprijono, Agus. (2009). Cooperative Learning, Teori & Aplikasi PAIKEM. Surabaya: Pustaka

Norfazila Binti Abdul Malik(2013), Penerapan Ciri-Ciri Guru Berkesan Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Semasa Latihan Mengajar Dalam Kalangan Pelajar Sarjana Uthm, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.


Kamaruddin, H. H. (1994). Dinamika Sekolah Dan Bilik Darjah. Cheras, Kuala Lumpur.:Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.




TOPIK 2: PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN MURID

Pengurusan ialah perancangan, pengelolaan pengkoordinasian, pengawalan, dan penilaian pengagihan sumber untuk tujuan mencapai sesuatu matlamat. (Jamaliah abdulhamid, Norashimah Ismail,2005). Manakala, Pembelajaran ialah menurut Kamus Inggeris-Melayu Dewan (1992) perkataan belajar diertikan sebagai memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran. Maka, pembelajaran boleh diertikan sebagai proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran. Terdapat empat konsep dalam pengurusan dan pembelajaran murid iaitu mengawal, pengalaman, mengarah dan merancang.

Bab ini juga mengkaji tentang beberapa jenis gaya pembelajaran pelajar iaitu gaya pembelajaran auditori, kinestetik dan juga gaya pembelajaran visual. Gaya pembelajaran auditori lebih menekankan kepada gaya pembelajaran pelajar melalui deria pendengaran , gaya pembelajaran kinestetik melalui gerakan pelajar manakala gaya pembelajaran jenis visual pula merupakan gaya pembelajaran berdasarkan pengamatan atau penglihatan pelajar. Setiap pelajar mempunyai pelbagai jenis gaya belajar yang berbeza untuk mereka belajar dan memahami sesuatu yang diajar oleh guru. Para guru haruslah sensitif dan peka terhadap gaya pelajar yang berbeza dan cuba sesuaikan dengan gaya pengajaran guru di dalam kelas supaya perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berjalan dengan lancar dan sempurna.

Terdapat pelbagai cara untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar dengan lebih berkesan. Salah satu cara penyampaian ilmu yang efektif adalah dengan mengadakan program peningkatan prestasi seperti seminar menjawab dan kelas tambahan. Melalui kelas tambahan, pelajar mempunyai masa yang lebih banyak untuk belajar disamping mengulangkaji pelajaran bersama-sama guru mereka. Mereka juga berpeluang untuk bertanyakan sesuatu yang tidak difahami tentang sesuatu perkara yang dipelajari. Di samping itu, mengadakan program mentoo-mentee sedikit sebanyak membantu dan mendekatkan lagi hubungan antara guru dan pelajar. Guru juga lebih mudah untuk mengajar apabila berada dalam lingkungan kumpulan pelajar yang kecil. Seterusnya, mengadakan program guru muda. Guru muda ini adalah di dalam kalangan pelajar yang lebih menonjol dalam pelajaran. Mereka akan mengajar pelajar yang lemah, seterusnya meningkatkan fahaman mereka dalam sesuatu subjek. Kebiasaannya pelajar akan lebih faham dan mengingati apa yang telah diajar oleh rakan mereka sendiri berbanding yang diajar oleh guru.

            Kesimpulannya, setiap guru berfungi sebagai pengurus hal ehwal murid yang berlaku di dalam bilik darjah. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam mengawal tingkah laku murid dan bukan sekadar bertugas sebagai penyampai ilmu. Malah, Guru juga haruslah lebih peka terhadap gaya pembelajaran pelajar dengan disesuaikan dengan kaedah pengajaran yang pelbagai.Oleh yang demikian, pengurusan dalam pembelajaran penting kerana ianya merupakan satu elemen sebelum memulakan sesuatu pembelajaran agar hasilnya lebih efektif dan menarik selain dapat melahirkan pelajar yang juga masyarakat yang mampu membangunkan dunia.


RUJUKAN
Mok Soon Sang.(2010). Tugas& Tanggungjawab Guru Mata Pelajaran dan Perancangan Pengajaran & Pembelajaran. Puchong,Selangor: PENERBITAN MULTIMEDIA SDN. BHD

Muhammad Suhaimi (2012). Pengurusan Bilik Darjah yang berkesan. Diperolehi pada
Oktober 29, 2018 daripada

Lembaga Penilaian Kompetensi kementerian Pelajaran Malaysia. Diperolehi pada Oktober 28, 2018 daripada

Mohamad Khirudin Amdan, Artikel Ilmiah Strategi Pengajaran Pembelajaran, Kaedah
Pelaksanaan Serta Cabaran Dalam. Diperoleh pada Oktober 28, 2018 daripada

Suppiah Nachiapan, Kamarulzaman Kamarudin, Abd.Aziz Abd. Shukor,Ramlah Jantan,
Roslinda Mustapha & Hazalizah Hamzah. (2012). Pembelajaran dan Perkembangan
Pelajar. ( Edn.). Tanjong Malim: Oxford Fajar.




TOPIK 3: ORGANISASI DAN KEPIMPINAN

            Menurut Abdul Ghani (2008), sekolah yang berkesan dipimpin oleh pengetua yang cemerlang. Di dalam carta organisasi sekolah, pengetua merupakan jawatan yang paling tinggi di dalam pentadbiran sekolah. Peranannya adalah bertanggungjawab dalam peningkatan Kurikulum dan Kokurikulum serta memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan. Selain itu, pengetua berperanan dalam mewujudkan hubungan dua hala dengan komuniti dan agensi-agensi luar. Di samping, bertanggungjawab dalam hal pengurusan, pentadbiran dan kewangan sekolah. Diikuti dengan penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid, penolong kanan kokurikulum dan juga guru kanan matapelajaran.

Menurut Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman, 2003 proses mempengaruhi kegiatan kumpulan kearah pencapaian sesuatu hasil yangtelah dirancangkan. Manakala menurut Yahya Don, 2005 konsep kepemimpinan adalah keupayaan mempengaruhi, memotivasikan, mengubah sikap dan tingkah laku subordinat atau orang bawahan seperti guru, staf sokongan, dan pelajar supaya bersetuju melaksanakan program-program danmelakukan perubahan bagi mencapai matlamat sekolah.

Terdapat empat jenis gaya kepimpinan iaitu autokratik, Laissez-Faire, demokratik dan kontigensi. Gaya kepimpinan ini merujuk kepada pendekatan atau cara seseorang pemimpin dalam mengetuai organisasi dengan menggunakan apa jua gaya yang terdapat di dalam teori-teori kepimpinan bagi memperjelaskan tentang pemimpin dalam kepimpinannya dan kesan penggunaan gaya kepimpinan terhadap organisasi yang dipimpinnya. Seterusnya, kepimpinan bilik darjah didefinisikan sebagai satu kemahiran di mana guru menggunakan kepimpinan untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dan melakukan interaksi dua pihak, antara guru dan murid, selain menyampaikan visi kepada murid-murid. Hal ini kerana, guru kelas mahupun guru subjek merupakan pemimpin yang dimaksudkan sewaktu berada di dalam bilik darjah.

Seterusnya terdapat tiga gaya pengajaran dalam pembelajaran iaitu pengajaran secara langsung, pengajaran secara tidak langsung dan pengajaran berpusatkan bahan bantu mengajar. Pengajaran secara langsung ini merupakan strategi yang sering digunakan oleh kebanyakan guru dalam memberi penerangan, demonstrasi, model, panduan, memberi latihan dan maklum balas murid. Manakala pengajaran secara tidak langsung pula lebih bersifat kepada tumpuan murid. Hal ini demikian di mana minat dan perasaan ingin tahu murid yang akan menggalakkan mereka untuk menjana alternatif atau mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Peranan guru beralih daripada pengajar kepada fasilitator, pemberi sokongan dan menjadi sumber rujukan murid. Selain tu, pengajaran berpusatkan bahan bantu mengajar adalah menekankan penggunaan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Penggunaan bahan dapat membantu memudahkan pemahaman murid sekiranya digunakan secara betul dan berkesan.

Kesimpulannya, organisasi dan kepimpinan di dalam sekolah ini memainkan peranan yang sangat penting. Hal ini demikia kerana setiap organisasi yang mempunyai ketua akan dibantu oleh ahlinya bagi memajukan sesebuah organisasi tersebut. Begitu juga sekolah. Pengetua akan dibantu oleh para guru yang lain bagi menjayakan program-program di sekolah serta menaikkan prestasi sekolah cemerlang.


RUJUKAN

Jamaliah Abdul Hamid & Norashimah Ismail. (2005). Pengurusan& Kepimpinan Pendidikan.
Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman. (2003). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Perak: Quantum Books.

Yahya Don. (2005).Kepimpinan Pendidikan Di Malaysia. Pahang: Pts Professional Publishing Sdn. Bhd.

Rosnani binti Kaman. (2013). Pengaruh Kepimpinan Pengetua Dan Amalan Pengurusan Menyeluruh (TQM) Terhadap Kepuasan Kerja Serta Komitmen Guru. Universiti Utara Malaysia. Kuala Lumpur.

Shahril @ Charil Marzuki, Rahimah Ahmad & Hussein Ahmad (2010). Kepimpinan Pengetua, Menjana Modal Insan di Sekolah Berkesan.




TOPIK 4: PENGURUSAN MURID


Menurut Jaafar Muhammad (1998), pengurusan sebagai satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan bagi tujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan.

Di dalam pengurusan murid terdapat tiga elemen penting iaitu mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid. Dalam elemen mengurus rekod murid, terdapat beberapa aplikasi yang sangat penting dalam membantu guru untuk mnegurus data dan maklumat dengan lebih tepat dan efisien. Antaranya ialah, Educational Management Information System Online (EMIS), Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Sistem Salahlaku Disiplin Murid (SSDM), Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Elemen yang kedua ialah kesediaan murid. Pembelajaran di dalam bilik darjah hanya akan berlaku sekiranya wujud kesediaan. Kesediaan ini merangkumi tiga bahagian iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor. Tambahan pula terdapat juga beberapa faktor yang mempengaruhi kesediaan pelajar iaitu kematangan dan pengalaman. Kematangan ni terdiri daripada empat kategori iaitu kematangan fizikal, kematangan emosi, kematangan kognitif dan kematangan sosial.

Elemen yang terakhir ialah memotivasikan murid. Motivasi ialah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan yang diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperoleh kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan. Terdapat dua jenis motivasi iaitu motivasi instrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi instrinsik ialah dorongan dan minat yang terdapat pada diri seseorang pelajar untuk melakukan sesuatu tanpa mengambil kira ganjarannya. Dengan itu, teknik motivasi instrinsik berkait dengan sifat semula jadi seseorang dengan unsur yang sedia ada dalam pembelajaran. Seterusnya motivasi ekstrinsik ialah motivasi yang direka cipta oleh faktor luaran seperti ganjaran dan dendaan. Punca motivasi wujud daripada persekitaran (Woolfolk,2006). Motivasi ekstrinsik berkait dengan unsur luaran yang tidak semula jadi dengan pembelajaran. Ganjaran yang nyata seperti pujian,hadiah, markah, gred, wang, pengiktirafan berbentuk sijil dan penghargaan diberikan kepada mereka yang berjaya mencapai prestasi baik atau melakukan sesuatu tugasan atau aktiviti yang diamanahkan.

Kesimpulannya, pengurusan murid merupakan suatu perkara yang sangat penting yang harus menjadi perhatian oleh warga sekolah terutamanya para guru. Setiap rekod murid haruslah disimpan dengan rapi agar tidak timbul sebarang kesulitan kepada pelajar dan juga pihak sekolah.Selain itu guru juga haruslah sentiasa peka dengan tahap kesedian pelajar untuk belajar yang mungkin berbeza bagi setiap pelajar. Guru juga haruslah memainkan peranan penting bagi meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar dengan kaeah yang sesuai dengan pelajar terbabit agar pelajar terbabit mampu menjadi pelajar yang cemerlang di sekolah.

RUJUKAN

Ernie Dharlya Che Daud & Aslina Saad. (2013). Sistem maklumat pengurusan dalam talian disekolah dalam konteks Malaysia. Seminar kebangsaan ICT dalam pendidikan. 

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2012). Murid dan alam belajar. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Shukor, Ramlah Jantan, RoslindaMustapha & Hazalizah Hamzah. (2012). Pembelajaran dan perkembangan pelajar. Shah Alam:Oxford Fajar Sdn. Bhd

Raudhah Ulya. (2017). Pengurusan Murid. [Slaid pembentangan]. Diperoleh daripada

Muhammad Ilyas. (2015). Pengurusan Murid. [Slaid pembentangan]. Diperoleh daripada




TOPIK 5: PENGURUSAN BILIK DARJAH

Pengurusan bilik darjah adalah proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Bilik darjah ialah persekitaran pembelajaran yang merangkumi aspek murid, guru, ruang dan alat pembelajaran. Pengurusan bilik darjah boleh difokuskan kepada tiga aspek penting iaitu dari segi ilmu pengurusan bilik darjah, kemahiran mengurus bilik darjah dan juga strategi pengurusan bilik darjah.

Bagi aspek pertama iaitu ilmu pengurusan bilik darjah, aspek ini menerangkan sedikit sebanyak mengenai pengurusan unsur fizikal bilik darjah, pengurusan bahan pengajaran dan juga pengurusan disiplin murid. Bagi pengurusan fizikal bilik darjah, menceritakan mengenai pembentukan iklim bilik darjah dari sudut fizikal, emosi dan sosial serta penyusunan bilik darjah. Bagi pengurusan bahan pengajaran pula, bahan alat bantu mengajar yang digunakan haruslah mampu menarik minat para pelajar untuk belajar di dalam bilik darjah. Contohnya seperti media elektronik dan media cetak seperti komputer, projector dan LCD surat khabar, buku dan sebagainya. Perancangan yang rapi dari segi kaedah pengajaran, isi kandungan pengajaran dan juga objektif pengajaran haruslah disediakan oleh para guru sebelum mengajar di dalam kelas .Seterusnya bagi ilmu pengurusan disiplin murid, para guru haruslah bijak mengawal tingkah laku pelajar di dalam kelas.Kaedah peneguhan positif dan negatif ketika mengajar perlulah disesuaikan bagi situasi tertentu.

Aspek yang seterusnya ialah kemahiran untuk mengurus bilik darjah. Kemahiran pengurusan bilik darjah terdiri daripada empat perkara iaitu merancang, mengurus, mengawal dan juga mengarah. Guru haruslah mengambil inisiatif yang efektif untuk merancang, mengurus, mengawal serta mengarah murid-murid bagi mewujudkan bilik darjah yang kondusif.

Di samping itu, strategi pengurusan bilik darjah yang berkesan juga haruslah dititikberatkan bagi memastikan keadaan bilik darjah berada dalam keadaan yang kondusif dan sesuai untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif bagi guru dan pelajar. Bilik darjah juga berfungi sebagai pusat pembelajaran yang bermaksud bilik darjah mempunyai ruang yang dilengkapi dengan bahan pengajaran yang dibina secara kreatif oleh guru dan pelajar. Pusat pembelajaran ini memerlukan sistem pengurusan yang sistematik agar proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam kelas samada secara formal atau tidak formal boleh berlaku dengan lancar.

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah ini amatlah penting supaya dapat mewujudkan suasana yang selesa, ceria dan murid mendapat semangat untuk belajar dengan tenang. Kerjasama antara peLajar dan guru pastinya akan membawa kepada pengurusan bilik darjah yang terbaik. Ketiga-tiga aspek yang dinyatakan perlulah diseimbangkan dan dilaksanakan di dalam setiap bilik darjah demi manfaat bersama.

RUJUKAN

Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad. (2015, Mac 12). Pendidikan kelas abad ke-21. Sinar Online, Diperoleh daripada

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2013). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor : Oxford Fajar.

Hew Fong Peng & Abdul Jalil Othman, 2008, Pengabaian Kemahiran Mendengar dan Bertutur dalam Bilik Darjah di Sekolah Menengah: Punca, Masalah dan Kesannya di Malaysia.

Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009). “Pengurusan Bilik Darjah‟. Dalam Noraini Idis dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembalajaran: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill. Pps 161 – 188. ISBN 978-983-3850-54-9.

Izyan Nadia. (2015). Pengurusan Bilik Darjah. [Slaid pembentangan]. Diperoleh daripada



TOPIK 6: PENGURUSAN SUMBER


Proses mengajar murid bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi, guru haruslah bijak mencari sumber pembelajaran untuk murid-murid menguasai sesuatu topik. Sumber yang ada haruslah dimanfaatkan sepenuhnya agar hasil yang diperoleh adalah seperti yang diharapkan. Ransangan daripada pelbagai sumber penting bagi membina daya kreativiti dan inovasi pelajar. Tambahan pula, zaman sekarang merupakan zaman yang berteknologi dan kebanyakan murid sudahpun didedahkan dengan kemudahan teknologi IT. Oleh hal yang demikian, para guru harus lebih bijak dalam memilih sumber pembelajaran agar murid tidak mudah bosan dengan aktiviti pembelajaran.

Pengajaran dan pembelajaran berasaskan sumber ialah segala usaha guru bagi melengkapkan pendekatan dan strategi pengajaran dengan melibatkan pelajar supaya belajar melalui penggunaan sumber-sumber pembelajaran. Antara sumber yang sering digunakan oleh pelajar dan guru disekolah ialah pusat sumber. Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran yang diurus secara sistematik.

Pengurusan sumber pembelajaran juga mempunyai peranan dan fungsi yang tertentu. Salah satunya ialah sumber pembelajaran dapat meningkatkan produktiviti pendidikan dengan memudahkan proses pengajaran. Selain itu, sumber pembelajaran juga dapat membantu meningkatkan penggunaan pelbagai deria pelajar. Tambahan pula, pengurusan sumber pembelajaran ini juga dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk berkembang sesuai dengan kemampuan mereka. Cara penyampaian guru juga akan lebih bersifat kreatif dan pelbagai dengan adanya sumber pengajaran yang baik dan dapat mengelakkan pengajaran bersifat kaku dan tradisional. Oleh hal yang demikian, murid juga tidak mudah bosan dengan gaya pengajaran yang serupa sejak dahulu. Pengurusan sumber pembelajaran juga menjadikan aktiviti pembelajaran lebih relevan dan berguna.

Secara umum, bahan bermakna apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran termasuklah pengetahuan dan nilai-nilai. Dari segi teknologi pendidikan, apa yang digunakan untuk menyampaikan pengajaran dan menjadi rangsangan pelajaran digolongkan sebagai media pendidikan. Koleksi bahan buku dan bukan buku yang boleh membantu dalam dalam proses pengajaran dan pembelajaran samada bagi keperluan guru atau murid. Antara komponen pembelajaran berasaskan sumber ialah penggunaan buku teks, aktiviti penelitian, pencarian bahan dari pelbagai sumber, latihan penyelesaian masalah dan penggunaan alat pandang dengar.

            Kesimpulannya, pengurusan sumber amatlah penting bagi setiap sekolah agar memudahkan para guru untuk menyampaikan maklumat dan proses penerimaan para pelajar adalah selari. Kesemua sumber, jika digunakan dalam proses Pengajaran Dan Pembelajaran yang sesuai akan bertindak sebagai ransangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna. Pembela jaran yang berasaskan sumber juga boleh melibatkan murid secara aktif dalam sesi pembelajaran berbanding murid yang hanya mendengar jika tiada sumber digunakan.

RUJUKAN:

Raja Rozita Raja Ariff. (2013). Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Menengah Zon Bandar
Daerah Segamat, Johor. (Disertasi Kedoktoran). Diperoleh daripada

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (2005). Buku Panduan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah. Kpm, Malaysia.

Addafiey Jamaludeen. (2015).Pengurusan Sumber: Pusat Sumber. Diperolehi daripada




TOPIK 7: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN

            Apa yang saya peroleh daripada pembelajaran tajuk ini ialah mengenai bagaimanakah atau apakah perkara yang perlu diambilberat dalam mengatur strategi dalam menguruskan bilik pembelajaran. Contoh bilik pembelajaran adalah seperti bilik darjah, makmal, bilik khas, pusat sumber, bengkel, studio seni dan bilik mata pelajaran. Oleh itu,strategi pengurusan bilik pembelajaran perlu dititikberatkan bagi menarik minat pelajar untuk pelajar.

Terdapat tiga faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik pembelajaran seperti unsur fizikal,interaksi dalam bilik pembelajaran dan mengurus iklim pembelajaran yang positif. Unsur fizikal merangkumi jenis bilik pembelajaran, pengurusan bilik pembelajaran dan penyusunan bilik pembelajaran.Jenis bilik pembelajaran terbahagi kepada 4 iaitu bilik darjah terbuka, bilik darjah tradisi,bilik darjah mata pelajaran khas dan bilik darjah KBSR dan KBSM. Ciri-ciri bagi bilik darjah tradisi ialah kerusi dan meja disusun mengikut baris demi baris, kaedah pengajaran berpusaatkan guru dan kurang mempraktikkan aktiviti kumpulan. Seterusnya,ciri bagi bilik darjah terbuka pula ialah pengajaran atau pelbagai aktiviti dijalankan dalam kumpulan kecil atau individu,kaya dengan bahan bantu mengajar,tiada kurikulum dihadkan, ujian dan peperiksaan dikurangkan dan perhubungan antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar berlaku secara terbuka dan jujur.

Faktor kedua ialah interaksi dalam bilik pembelajaran di mana mengikut Model Pengajaran Sim, konsep interaksi dalam bilik darjah merujuk kepada proses saling bertindak di antara guru, pelajar, objektif pelajaran, isi kandungan pelajaran, serta alam sekitar yang merangkumi aspek sosiobudaya, ekonomi, lokasi dan masa. Antara jenis interaksi dalam bilik pembelajaran ialah interaksi 2 hala iaitu antara guru dan pelajar,interaksi 2 hala antara pelajar dan pelajar,interaksi pelbagai hala iaitu antara guru dan pelajar dan antara pelajar dan pelajar dan interaksi sehala antara guru dan pelajar. Interaksi 2 hala dan pelbagai hala perlu dipraktikkan oleh guru dan pelajar keika sesi pembelajaran.

Faktor terakhir adalah mengurus iklim yang positif dimana ia bermaksud suasana yang selesa dan sesuai ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik pembelajaran. Iklim pembelajaran terbahagi kepada 3 iaitu suasana fizikal, sosial dan emosi. Suasana fizikal melibatkan penyusunan bilik darjah dan keceriaan bilik darjah manakala bagi suasana sosial pula melibatkan hubungan guru dengan pelajar dan hubungan pelajar dengan pelajar dan juga interaksi 2 hala dan pelbagai hala dilaksanakan. Seterusnya, suasana emosi pula melibatkan gabungan aspek suara yang digunakan oleh guru untuk menarik minat pelajar, mewujudkan unsur humor ketika di dalam kelas, penggunaan pujian kepada para pelajar untuk menghargai usaha yang ditunjukkan oleh mereka dan juga guru perlu mevariasikan cara penyampaian bagi mengelakkan pelajar berasa bosan.

Kesimpulannya, para pelajar dan guru juga perlu mempraktikkan strategi pengurusan bilik pembelajaran dengan baik agar sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Pihak sekolah juga perlu memastikan strategi pengurusan bilik pembelajaran ini dijalankan oleh guru dan murid. Rentetan itu, murid dapat belajar dengan suasana yang selesa serta efektif  dan dapat meningkatkan mutu pembelajaran muri-murid kepada tahap yang lebih baik. Malah, pihak sekolah dapat melahirkan anak murid yang cerdik dan cergas.


RUJUKAN:

Muhammad Suhaimi (2012). Pengurusan Bilik Darjah yang berkesan. Diperolehi pada Oktober 29, 2018 daripada http://eprints.ums.edu.my/4441/1/nc0000001734.pdf.

Eng, J. A. J. (2014). Pengurusan Bilik Darjah: Strategi-strategi Mewujudkan Komuniti Pembelajaran Berkesan. Selangor: PTS Akademia.

Hasfarina Abas (2014). Tahap, Amalan dan Masalah Pengurusan Bilik pembelajaran Guru-Guru Sekolah Menengah Daerah Segamat. (Disertasi Kedoktoran). Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/31564/5/HasfarinaAbasMFP2012.pdf

Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail (2013). Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Diperolehi Daripada http://journalarticle.ukm.my/6749/1/49-63_Rasid.UPM.pdf


TOPIK 8: PENGURUSAN TINGKAHLAKU DISIPLIN

Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu. Tingkah laku juga semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur dan dinilai dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Pengurusan tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik yang sesuai.

Peraturan ialah undang-undang yang ditetapkan untuk menentukan ketenteraman, keharmonian dan kelicinan perjalanan aktiviti-aktiviti dalam masyarakat. Peraturan sekolah merupakan satu persetujuan yang dipersetujui bersama oleh warga sekolah dalam mengawal disiplin dan tingkah laku manusia yang berada di dalamnya. Menurut Abdullah Sani (2005), disiplin merupakan satu bentuk latihan untuk mengembangkan potensi individu daripada segi intelek, jasmani, rohani dan sosial supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia dan memberi manfaat kepada masyarakat. Disiplin adalah adalah satu set peraturan yang telah ditetapkan kepada murid-murid bagi mengawal serta untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini. Guru sebagai guru disiplin. Walaupun seseorang guru itu tidak menggalas jawatansebagai seorang guru disiplin mereka juga hendaklah mengambil tanggungjawab bersamadalam menentukan disiplin sekolah untuk sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan terkawal.

Tambahan pula, pelajar bersetuju bahawa disiplin ialah latihan supaya boleh mengawal diri sendiri mengikut peraturan yang ditetapkan. Majoriti pelajar mengatakan bahawa kepatuhan kepada peraturan sekolah boleh membentuk pelajar menjadi individu yang bertanggungjawab dan disiplin diadakan untuk mewujudkan suasana yang harmoni di sekolah. Sebahagian besar pelajar berpendapat disiplin sekolah amat penting untuk menjamin kesejahteraan pelajar, guru dan sekolah bahkan mereka bersetuju bahawa penerangan mengenai peraturan sekolah telah disebarkan secara terperinci kepada pelajar. Majoriti pelajar juga berpendapat peraturan sekolah yang sedia ada perlu diubah suai mengikut peredaran semasa tetapi ada juga pelajar yang berpendapat peraturan yang ditetapkan di sekolah adalah sesuai dan tidak mengongkong.Kebanyakan pelajar tidak bersetuju bahawa membentuk disiplin secara paksaan adalah lebih berkesan kepada pelajar sekolah kerana pelajar akan memberontak jika mereka dipaksa melakukan perkara yang mereka tidak suka.

Kesimpulannya, pengurusan tingkah laku murid di sekolah merupakan salah satu aspek yang wajar diberi perhatian serius oleh pihak sekolah terutamanya pihak lembaga dan disiplin di sesebuah sekolah. Peningkatan stastistik kemasukan pelajar juvana ke sekolah juvana akibat salah laku menunjukkan bahawa ramai pelajar atau remaja di Malaysia telah banyak yang terjerumus dengan tingkah laku devian. Oleh itu sebelum nasi menjadi bubur, pihak sekolah terutamanya para guru perlulah mengawal disiplin para pelajar supaya mereka sentiasa berada pada landasan yang betul dan menjadi pelajar yang berakhlak mulia.

RUJUKAN

Abdul Ghani Abdullah & Abd. Rahman Abd. Aziz. (2009). Mengurus Tingkah Laku Pelajar. Kuala Lumpur : PTS Professional.

Herry Hazz. (2013). Definisi Pengurusan Tingkah Laku. Diperolehi daripada https://www.scribd.com/document/169272997/Definisi-Pengurusan-Tingkah-Laku 
Suresh Kumar N Vellymalay (2011). Sikap dan Tingkah Laku Remaja Terhadap Pembelajaran di Sekolah: Satu Kajian Kes di Rumah Kanak-kanak. Jurnal Pendidikan Malaysia 36(2)(2011): 25-32. Diperoleh daripada http://www.ukm.my/jurfpend/volume%2036(2)/Sikap%20dan%20Tingkah%20Laku%20Remaja%20Terhadap%20Pembelajaran%20di%20Sekolah.pdf



TOPIK 9: PENGURUSAN PENASIHATAN MURID

Pengurusan penasihatan murid berkait rapat dengan khidmat bimbingan dan kaunseling. Menurut Robert (2001) khidmat bimbingan dan kaunseling merupakan proses bersemuka antara kaunselor dengan klien. Tujuan pertemuan adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai untuk klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya di samping mengetahui buruk baik dan halangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu. Di sekolah, pengurusan penasihatan murid bukan hanya berpaksikan peranan seorang guru kaunseling atau kaunselor sekolah semata-mata tetapi juga menjadi tugas dan tanggungjawab semua guru di sekolah. Penasihatan murid melibatkan perbincangan mengenai masalah yang biasanya berbentuk emosional antara kaunselor dengan klien iaitu pelajar khususnya. Kaunseling sebenarnya membantu untuk membentuk kesihatan mental pelajar supaya murid berasa selesa dengan diri sendiri, sentiasa berfikiran positif terhadap orang lain dan berkeupayaan untuk memenuhi hidup sendiri. Bab pengurusan penasihatan murid ini menceritakan dengan lebih lanjut mengenai bimbingan, penasihatan, mentoring dan proses bimbingan dan penasihatan.

Bagi aspek pertama yang dibincangkan iaitu aspek bimbingan.Bimbingan merupakan pendekatan yang menggunakan kaedah lisan atau fizikal untuk membantu seseorang mencapai matlamat, merancang tindakan dan memperbaiki sikap dan tingkah laku dalam aspek tertentu seperti bimbingan memberikan fokus kepada potensi individu dan juga bimbingan yang menolong individu membuat pilihan yang tepat.Terdapat beberapa prinsip bimbingan atau ciri yang perlu ada sebagai guru pembimbing iaitu bersikap empati,menerima tanpa syarat , kemesraan dan ketulenan dan sebagainya. Objektif bimbingan dan kaunseling adalah untuk membantu pelajar dalam meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar, membantu pelajar dalam pemilihan kerjaya yang sesuai dengan pelajar berdasarkan minat dan kebolehan mereka serta yang peling penting adalah untuk membantu pelajar mengatasi masalah peribadi yang sedang dihadapi.

Bagi aspek kedua iaitu mentoring, iaitu perhubungan antara mentor dan mentee iaitu pelajar. Proses mentoring melibatkan proses menjalin hubungan antara mentor dan mentee, merunding persetujuan, melihat perkembangan profesion mentee dan juga akhirnya proses penamatan hubungan antara mentor dan mentee setelah matlamat tercapai. Kepentingan mentor dan mentee ini ialah para pelajar dapat berkongsi masalah yang mereka hadapi dalam pembelajaran kepada mentor mereka. Kemudiannya dengan adanya interaksi antara mentor dan mentee ini akan menyebabkan lebih banyak perkongsian maklumat oleh mentor kepada mentee berlaku. Dengan ini,para pelajar akan lebih bermatlamat untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam bukan sahaja bidang akademik malahan juga dalam bidang kokurikulum.

Aspek ketiga ialah penasihatan. Penasihatan bolehh ditakrifkan sebagai salah satu daripada mekanisme untuk membantu pelajar menyelesaikan masalah. Antara ciri penasihatan ialah lebih memfokuskan kepada masalah yang dihadapi berbanding orang yang bermasalah,lebih menjurus kepada bentuk arahan atau suruhan kepada sesorang dan ia jua merupakan strategi terbaik untuk menyelesaikan maslah dengan lebih efektif. Aspek seterusnya ialah proses bimbingan dan penasihatan . Proses bimbingan dan penasihatan ini memerlukan lima langkah utama iaitu pemerhatian, perancangan, pelaksanaan ,hasil dan juga refleksi. Antara model pendekatan yang digunakan dalam bimbingan dan penasihatan ialah Teori Psikologi Individu oleh Alfred Adler dan juga Teori Pemusatan Individu oleh Carl Rogers.

Kesimpulannya, pengurusan penasihatan murid sangat penting untuk memastikan keadaan emosi para pelajar di sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik. Emosi pelajar sangat mempengaruhi proses pembelajaran dalam kelas sama ada mengalakkan atau merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi guru di sini memainkan peranan penting terutamanya para kaunselor sekolah untuk memberi bimbingan dan nasihat kepada pelajar supaya segala masalah pelajar dapat diselesaikan dan meningkatkan lagi motivasi pelajar untuk menjadi pelajar yang berjaya.


RUJUKAN

Mok Soon Sang. (2008). Pengurusan hal ehwal pelajar .Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Myrick, Robert D. (2001). Bimbingan dan kaunseling perkembangan: Pendekatan yang
praktis. Terjemahan Zuraidah Abdul Rahman . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noraini Ahmad. (2003). Konsep dan amalan kaunseling. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributor.

Amia Salleh, Zuria Mahmud & Salleh Amat. (2009). Bimbingan dan kaunseling sekolah. Kuala Lumpur: UKM Bangi.





TOPIK 10: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

Topik pengurusan pelbagai budaya membincangkan mengenai tiga perkara utama iaitu kepebagaian budaya murid, pengurusan merentas budaya dan juga isu kepelbagaian budaya murid. Pelbagai budaya dari segi bahasa boleh ditakrifkan dengan pelbagai jenis kelakuan dan cara berfikir. Manakala dari segi istilah pula, kepelbagaian budaya juga boleh ditakrifkan sebagai satu sistem kepercayaan dan tingkahlaku yang mengiktiraf dan menghormati kewujudan pelbagai dalam kelompok sesebuah organisasi atau masyarakat, mengakui dan menghargai perbezaan sosial budaya dalam orgnisasi berkenaan.

Bagi aspek pertama yang dibincangkan iaitu kepelbagaian budaya murid, aspek ini membincangkan mengenai budaya murid di sekolah yang berbeza jenis bagi setiap murid. Setiap murid mempunyai perbezaan dari segi jantina, umur agama, kenegaraan, kenegerian, kaum atau etnik dan terdapat juga perbezaan dari segi bahasa. Perbezaan dari segi bahasa ini lahirnya dari pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia seperti bangsa Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Murut , Bajau dan sebagainya yang mempunyai amalan dan budaya mereka yang tersendiri.Guru yang merupakan tenaga pengajar di sekolah haruslah sentiasa peka dan prihatin terhadap kepelbagaian budaya yang terdapat dalam diri setiap pelajar agar para guru dapat merancang pengajaran dengan lebih berkesan.

Aspek kedua yang dibincangkan dalam topik ini ialah pengurusan merentas budaya. Aspek pengurusan merentas budaya melIputi elemen penting seperti pembinaan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya, aspek fizikal bilik darjah dan perhubungan yang terjalin antara kelompok etnik dalam kalangan murid. Selain itu,elemen kurikulum mata pelajaran dan kaedah pembelajaran, penerapan nilai murni serta program RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan). Di samping itu kesatuan dalam kepelbagaian murid turut dibincangkan dalam topic ini yang mengandungi elemen nilai merentas kurikulum, nilai merentas kokurikulum, nilai merentas budaya sekolah serta pendidikan dan perpaduan kebangsaan di Malaysia.

Seterusnya, aspek terakhir yang turut dinyatakan di bawah tajuk pengurusan pelbagai budaya murid ini ialah isu-isu kepelbagaian budaya murid. Antara isu yang timbul ialah isu Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Bahasa Melayu wajib digunakan di setiap sekolah sebagai bahasa pengantar.Ia juga bertindak sebagai medium perpaduan bagi murid yang terdiri daripada pelbagai kaum di sekolah.Yang keduanya ialah isu semangat patriotik yang perlu ada dalam diri setiap murid di sekolah.Semangat nasionalisme yang tinggi dalam kalangan murid atau pelajar akan membuatkan mereka lebih mencintai negara dan sentiasa bersemangat untuk belajar dengan bersungguh bagi mengharuman nama negara. Isu kepelbagaian budaya yang seterunya ialah modal insan.Setiap pelajar perlulah diterapkan dengan ciri-ciri modal insan kelas pertama agar mampu menabur bakti kepada negara pada masa akan datang.

Kesimpulannya, guru merupakan asset yang penting dalam pembentukan pelajar yang terdiri daripada pelbagai budaya. Seseorang guru itu haruslah berusaha dalam menangani masalah pelajarnya yang datang dari pelbagai sudut dan aspek guru perlu bersifat “MULTICULTURAL”. Kepelbagaian budaya pelajar menjadikan setiap pelajar memerlukan cara pengajaran dan pembelajaran yang berbeza dari seorang guru. Jadi, fungsi dan tugas seorang guru di dalam kelas sangatlah penting untuk memastikan setiap pelajar di dalam kelas mendapatkan input yang efektif daripada setiap proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam kelas.

RUJUKAN

Amir Asyraaf. (2015). Pengurusan Pelbagai Budaya. [Slaid pembentangan]. Diperoleh daripada https://prezi.com/hkrd30mkfkao/pengurusan-pelbagai-budaya/

Ismail Yusoff. (2003). Pengenalan Sains Sosial. Sintok. Penerbit Univesiti Utara Malaysia.
Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri (2017). Pendidikan Abad ke 21 Dalam Kepelbagaian Budaya: Cabaran dan Harapan. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/320858903_Pendidikan_Abad_ke_21_Dalam_Kepelbagaian_Budaya_Cabaran_dan_Harapan

Noraini Omar, Mohd Aderi Che Noh & Mohd Isa Hamzah (2014). Diperoleh daripada https://jtssweb.files.wordpress.com/2014/12/kepelbagaian-budaya-dalam-pengajaran-dan-pembelajaran-pendidikan-islam.pdf






TOPIK 11: PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA

Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan satu langkah yang diambil untuk membantu murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran. Secara amnya, pengurusan murid pelbagai upaya ini lebih terarah kepada program pendidikan khas yang dijalankan ke atas pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran sama ada secara fizikal atau mental. Pendidikan khas merujuk kepada satu pendekatan, rancangan pendidikan, strategi, kaedah dan teknik untuk mengajar murid-murid istimewa kerana mereka tidak berupaya untuk mencapai target yang sepatutnya daripada program sekolah aliran perdana. Terdapat empat perkara penting dalam pengurusan murid pelbagai upaya antaranya ialah pemulihan, pengayaan, pelbagai kecerdasan dan bekeperluan khas.

Program pemulihan merupakan satu usaha dalam pendidikan untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah rendah yang menumpukan khusus kepada kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira dan dikendalikan oleh guru-guru pemulihan khas yang telah menerima latihan khas dalam bidang ini. Menurut Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008 yang diolah oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad dalam bukunya yang bertajuk Pengantar Pendidikan Khas (2011), murid pemulihan khas didefinisikan sebagai murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran 3M. Mereka menunjukkan simptom atau gejala kesulitan untuk membaca, menulis atau mengira.  Program pemulihan ini dapat membantu mengembangkan potensi diri murid berdasarkan kaedah pengajaran kreatif yang dilakukan oleh guru-guru yang pakar dalam bidang ini.

Pengayaan pula ialah aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaranyang dijalankan sama ada di dalam waktu sekolah atau di luar kawasansekolah. Dalam kajian terhadap pengurusan murid pebagai upaya ini, pengayaan merujuk kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pelajar yang bermasalah pembelajaran untuk menambahkan pengetahuan danmemperluaskan pengalaman mereka.

Dalam konteks ini, keperluan khas merujuk kepada keperluan pelajar iaitu atas satu sebab atau yang lain memerlukan bantuan khas, sokongan, dan rangsangan. Pelajar yang dirujuk di sini boleh dirujuk kepada kanak-kanak yang mengalami perkembangan yang lambat dalam satu atau lebih daripada sebab seperti kerencatan akal, kecacatan fizikal, kekurangan penglihatan dan pendengaran serta gangguan pertuturan.

Kesimpulannya, pengurusan murid pelbagai upaya merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang digunakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Pelaksanaan program ini bermatlamat untuk menghakis jurang perbezaan terutamanya pencapaian murid dalam sesuatu aktiviti. Sekiranya matlamat ini dapat dicapai, golongan pelbagai upaya ini tidak merasa diri mereka disisihkan dan mereka dapat belajar bersama-sama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik dalam kelas. Saranan KPM kepada guru untuk melaksanakan strategi pembelajaran koperatif dan kolaboratif yang memberi kesan positif kepada murid yang cenderung dalam ketegori pelbagai upaya ini. Natijahnya, setiap murid memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri. Adalah penting bagi seseorang guru untuk memahami perkara tersebut dan berkeupayaan untuk mempelbagaikan pendekatan yang berbeza untuk menarik minat murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan pengajaran secara holistik menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ini selari dengan salah satu aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi memacu negara pada masa hadapan.


RUJUKAN

Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Syukor, Ramlahjantan, Rosinda Mustapha, Hazalizah Hamzah (2012), Pembelajaran Dan Perkembangan Pelajar, Herald Printing Sdn. Bhd, Selangor

Mohd Hanafi Mohd Yasin, Hasnah Toran, Mohd Mokhtar Tahar, Safani Bani, Siti Nur Nadirah Ibrahim & Rosniza Zaharudin. (2013). Bilik Darjah Pendidikan Khas Pada Masa Kini Dan Kekangannya Terhadap Proses Pengajaran. Asia Pacific Jurnal of Educators and Education, 28, 1-9.

Zharulnizam Shah Z.A. (2007). Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Khas. Johor :Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Daniel Hilmi. (2015). Pengurusan Murid Pelbagai Upaya. [Slaid pembentangan]. Diperoleh daripada https://www.slideshare.net/mobile/danielhilmi/a-pengurusan-murid-pelbagai-upaya-1-10






TOPIK 12: SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

Sekolah merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan bertujuan untuk memberi kemudahan kepada golongan yang ingin menuntut ilmu serta menyampaikan ilmu. Persekitaran pula membawa maksud kawasan di sekeliling bagi suatu tempat. Persekitaran sekolah merujuk kepada suasana dalam sekolah dan masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sesebuah sekolah. Persekitaran sesebuah sekolah turut mempengaruhi perkembangan pelajar di sekolah dari pelbagai aspek seperti akademik, sukan dan kokurikulum, sosial dan lain-lain. Persekitaran sekolah terbahagi kepada dua bahagian iaitu persekitaran fizikal dan persekitaran psikososial.  Persekitaran fizikal ialah kemudahan dan peralatan yang dibekalkan oleh pihak sekolah seperti bilik darjah, papan tulis dan bahan pembelajaran. Persekitaran psikososial pula ialah hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya seperti suasana yang selesa dan mesra yang berupaya merangsang aktiviti pembelajaran.

Setiap sekolah hendaklah menitikberatkan hubungan tiga dimensi di antara pihak sekolah, pihak ibu bapa dan juga masyarakat. Hubungan yang mantap dan akrab daripada ketiga-tiga pihak dapat memudahkan pencapaian matlamat atau objektif yang sama. Hal ini kerana, sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang tidak wujud secara bersendiriran. Hubungan sekolah dan masyarakat penting kerana sesebuah sekolah adalah lembaga sosial yang berfungsi untuk melayani anggota masyarakat seperti golongan pelajar dan ibu bapa dalam bidang pendidikan. Kemajuan sekolah dan kemajuan masyarakat saling berkolerasi. Menurut Elsbree dan McNally, tujuan hubungan antara sekolah dan masyarakat ialah mengembangkan mutu belajar dan pertumbuhan anak-anak, meningkatkan mutu kehidupan masyarakat, memperbanyak penyertaan masyarakat dan lain-lain.

Hubungan antara sekolah dan ibu bapa sering dikaitkan dengan penubuhan PIBG sesebuah sekolah yang bertindak sebagai orang tengah di antara guru dan ibu bapa. Hubungan yang mesra di antara guru dan ibu bapa dapat memudahkan berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran ketika pelajar berada di sekolah. Hubungan yang baik ini juga dapat melenyapkan segala prasangka negatif antara ibu bapa dan guru. Sebarang perbincangan dan permasalahan juga boleh dijalankan dalam suasana yang aman dan harmoni sekiranya hubungan antara pihak-pihak yang terlibat dalam keadaan baik.

Secara kesimpulannya, sekolah dan persekitaran sangat berkait rapat dan penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Sekolah sebagai tempat kepada para pelajar untuk menerima ilmu serta kepada para guru untuk menyampaikan ilmu perlulah berada dalam keadaan yang harmoni dan teratur. Persekitaran yang lengkap dari segi fizikal dan psikososial Dapat meningkatkan minat pelajar untuk belajar dalam suasana yang kondusif dan selesa. Selain itu, isu-isu pendidikan semasa yang timbul juga perlulah diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak-pihak yang berkuasa bagi memastikan permasalahan tersebut tidak akan berterusan dan memberikan kesan negatif kepada mana-mana pihak. Guru juga hendaklah bersedia berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran akan datang yang bakal dihadapi kelak. Pada era globalisasi kini, guru juga hendaklah sentiasa peka dengan teknologi dan kemudahan yang boleh digunakan dalam proses pengajaran di sekolah yang berupaya menarik minat pelajar. Kemudahan yang dihasilkan pada era globalisasi ini hendaklah dipelajari oleh setiap individu termasuklah guru dan pelajar agar Malaysia dapat terus melangkah ke hadapan seiring dengan negara maju yang lain.

RUJUKAN

Md Ishak A. Rahman. (2013, September 16). Menjana Kepakaran Guru. Utusan Online, diperoleh daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130916/pe_01/Menjana-kepakaran-guru#ixzz4eJstVcyN

Abdullah Sani Yahaya (2003). Mengurus Sekolah. Pahang: PTS Professional.






TOPIK 13: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

Pengurusan ialah satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai sesuatu matlamat kumpulan. Menurut Alister Brandon Jones (2016), pengurusan bermaksud satu proses perancangan, persekolahan, pengarahan dan kawalan terhadap usaha- usaha ahli organisasi dan penggunaan sumber-sumber dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan. Alam pembelajaran pula membawa maksud keadaan atau suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar para pelajar dalam mencapai matlamat, perubahan tingkah laku yang positif serta menambah pengetahuan. Pengurusan alam pembelajaran juga penting supaya sesi pembelajaran dalam kelas dapat berjalan dengan lancar dan tidak timbul masalah terlebih atau terkurang masa semasa mengajar.

Pengurusan alam pembelajaran juga memberikan impak positif dan impak negatif dari segi akademik dan sahsiah pelajar. Pengurusan alam pembelajaran yang baik dapat memudahkan guru mengawal aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan di dalam kelas, maklumat yang ingin disampaikan oleh guru kepada pelajar juga lebih mudah difahami serta penyampaian guru akan lebih teratur dan sentiasa dalam keadaan yang terkawal. Namun, pengurusan alam pembelajaran yang tidak baik akan memberikan impak yang sebaliknya kepada para pelajar. Sebagai contoh, apabila bilangan pelajar yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas. Situasi ini menyebabkan guru tidak dapat mengawal kelasnya dengan baik dengan adanya pelajar yang mempunyai pelbagai tahap kebolehan dalam belajar. Selain itu, guru juga tidak dapat melayan semua kerenah pelajar di dalam kelasnya dan berlakunya keciciran. Guru juga perlulah melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran terutamanya apabila berhadapan dengan pelajar dan ibu bapa pada hampir setiap hari. Guru hendaklah mempunyai kemahiran interpersonal yang baik dan bijak mengambil tindakan apabila berhadapan dengan pelajar yang tidak bersedia untuk belajar.

Pengurusan alam pembelajaran yang baik dapat dihasilkan melalui suasana pembelajaran yang kondusif dan harmoni. Antara langkah yang boleh diambil oleh guru bagi membentuk suasana yang kondusif dalam mengendalikan aktiviti pembelajaran ialah kemahiran berkomunikasi dengan pelajar. Komunikasi dua arah di antara pelajar dan guru yang baik dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak pelajar yang terpuji serta penerapan kemahiran-kemahiran tertentu. Pengurusan alam pembelajaran juga mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri. Kekuatan atau kepentingan yang dapat diperoleh apabila guru menjalankan pengurusan alam pembelajaran dengan baik ialah sesi pembelajaran yang lebih teratur, objektif pembelajaran mudah untuk dicapai, dapat menarik minat dan perhatian pelajar tehadap subjek tersebut serta membantu guru untuk sentiasa bersedia.Kelemahan pengurusan alam pembelajaran ialah berlakunya perselisihan yang menyebabkan perkara yang telah dirancang oleh guru tidak dapat berjalan dengan sempurna. Oleh itu, bagi menangani masalah ini, guru hendaklah bersifat fleksibel dan mempunyai perancangan tambahan sekiranya perancangan pertama tidak dapat dilaksanakan. Selain itu, skop pembelajaran juga terhad kerana guru hanya mampu mengajar mengikut sukatan harian yang diberikan kerana tempoh masa yang dijadualkan juga terhad.

Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini membantu guru untuk lebih bersedia sebelum memulakan sesi pengajaran. Pengurusan alam pembelajaran yang baik meliputi keseluruhan aspek seperti pencapaian akademik pelajar, pencapaian kokurikulum dan tingkahlaku pelajar sepanjangan proses pengajaran dan pembelajaran itu berlangsung. Pengurusan alam pembelajaran juga merupakan satu perkara yang penting kerana ia melibatkan prestasi dan pencapaian pelajar. Hal ini bergantung kepada cara guru mengurus dan mengendalikan pengajaran yang mampu menarik minat pelajar serta meningkatkan kefahaman pelajar. Oleh itu, persediaan yang cukup untuk menghadapi dan mengurus pelajar sangat penting bagi seseorang guru. Setiap individu yang bergelar pendidik juga perlulah membina hubungan interpersonal bagi mewujudkan persefahaman antara guru dan pelajar. Pengurusan alam pembelajaran membawa pelbagai kebaikan kepada guru dalam melaksanakan sesi pengajaran yang lebih berkesan.


RUJUKAN

Norfazila Binti Abdul Malik(2013), Penerapan Ciri-Ciri Guru Berkesan  Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Semasa Latihan Mengajar  Dalam Kalangan Pelajar Sarjana Uthm, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. http://eprints.uthm.edu.my/4186/1/NORFAZILA_BINTI_ABDUL_MALIK.pdf

Raedah Binti Md Amin (2013), Pengurusan Pengajaran Dan Pembelajaran Sekolah Rendah Kebangsaan Di Zon Bandar Daerah Kota Tinggi, Universiti Teknologi Malaysia. http://eprints.utm.my/id/eprint/39043/1/RaedahMdAminMFP2013.pdf

Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Syukor, Ramlah Jantan, Rosinda Mustapha, Hazalizah Hamzah (2012), Pembelajaran Dan Perkembangan Pelajar, Herald Printing Sdn. Bhd, Selangor.

Mohd Faeez Ilias, Kalthom Husain, Mohd Amin Mohd Noh, Zetty Nurzuliana Rashed & Murihah Abdullah. (2016). Sumber Bahan Bantu Mengajar Dalam Kalangan Guru Pendidikan Islam Sekolah Bestari. e-Academia Journal UiTMT, 5(2), 106-114. Diperoleh daripada http://gids.mohe.gov.my/index.php/JeA/article/view/1301/78

Shahabuddin Hashim & Noor Miza Abdul Rahman. (2014). Kaedah pengajaran & pembelajaran kerohanian kanak-kanak. Selangor, Malaysia: PTS Media Groups Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment